Saturday, August 22, 2015

PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBERIKAN SOKONGAN DAN DORNGAN KEPADA ANAK-ANAK DEMI MEMASTIKAN KECEMERLANGAN AKADEMIK ANAK-ANAK [SPM]

Keluarga boleh ditakrifkan sebagai kaum kerabat atau sanak saudara yang saling mengasihi, mencintai dan bersifat belas kasihan terhadap saudaranya yang lain. Tambahan pula, keluarga merupakan aset terpenting dalam kehidupan setiap insan. Seseorang yang tidak mempunyai keluarga, iaitu hidup sebatang kara, tidak mempunyai tempat bergantung untuk menumpang kasih serta hidup bagaikan layang-layang terputus tali. Pada tahun 2003, Malaysia pernah digemparkan dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nur Amalina yang amat membanggakan. Hal ini kerana beliau berjaya mendapat 17A1 sekali gus menjadikan beliau pelajar cemerlang SPM 2003. Kejayaan ini adalah kerana Nur Amalina mempunyai sebuah keluarga yang penyayang dan sanggup memberikan sepenuh sokongan dan dorongan dalam bidang akademik beliau. Jelaslah bahawa faktor kejayaan anak-anak dalam bidang akademik banyak bergantung kepada dorongan dan sokongan daripada keluarga. Terdapat pelbagai jenis sokongan dan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kerana keluarga bahagia pemangkin kecemerlangan anak-anak.

Tuesday, August 19, 2014

Karangan SPM - Membantu golongan Orang Kurang Upaya

Usaha berterusan membantu golongan Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan satu tindakan yang wajar demi membolehkan golongan ini memberikan sumbangan berkesan kepada negara.

Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk membantu golongan ini?

Golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini masih boleh dikatakan umpama melukut di tepi gantang. Masyarakat tidak begitu mempedulikan kehadiran mereka, sekali gus menerima nasib seperti pungguk rindukan bulan. Orang Kurang Upaya termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual, atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat. Ada juga yang menjadi cacat akibat mengalami kemalangan yang menjejaskan anggota badan. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna kerana kekurangan yang dimiliki. Mereka perlu dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Sebagai masyarakat yang cakna dan bertanggungjawab kita haruslah membantu golongan ini menikmati hidup yang sama seperti mereka yang normal.

USAHA-USAHA INDIVIDU (ANDA) MEMUPUK AMALAN MEMBACA

Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah menyebabkan remaja hilang keyakinan diri dan ketahanan jiwa sehingga terdorong melakukan pelbagai aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli dan vandalisme. Mengapakah remaja lebih gemar melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang faedah kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai aktiviti berfaedah yang boleh mereka lakukan khususnya membaca? Hal ini demikian kerana, membaca akan menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu pengetahuan. Namun begitu, berdasarkan kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun berbanding bilangan buku yang dibaca oleh rakyat Jepun. Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik persis mutiara kata “yang buruk dibuang dengan runding, yang baik ditarik dengan muafakat” untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca. Oleh itu, sebagai seorang pelajar dan remaja, kita perlulah mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk menjadikan amalan membaca itu amalan hidup.

Hot Topic for UPSR Karangan 2014

  1. Kebaikan Perpustakaan Sekolah
  2. Hari Sukan
  3. Lawatan ke Kilang Roti
  4. Kawan Karib Saya
  5. Aku sebuah Komputer

LANGKAH-LANGKAH MENINGKATKAN MUTU SUKAN NEGARA

Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia kepada pasukan Singapura serta tumbangnya jagoan badminton negara Datuk Lee Chong Wei, dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Hal ini belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras yang lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaranjaguh kampung,  ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa-apapun pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain dalam bidang sukan.

Thursday, June 14, 2012

KEBAIKAN PLKN

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) telah dilancarkan oleh pada 16 Februari 2004. Program ini merupakan gabungan daripada latihan ketenteraan dan penanaman nilai-nilai patriotik kepada generasi muda ke arah cinta akan negara. Program ini berbeza daripada kerahan tenaga yang dilaksanakan oleh beberapa buah negara lain kerana program ini menggunakan modul dan acuan kita sendiri yang disesuaikan dengan keadaan sosial, budaya dan ekonomi. Program yang dilaksanakan ini sebenarnya banyak mendatangkan kebaikan walaupun terdengar suara-suara yang meragui keberkesanannya.


Thursday, April 19, 2012

SEMANGAT KEJIRANAN (Contoh Karangan)

MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT



Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal di satu taman atau di sebuah kampung yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa"Jiran sepakat membawa berkat".Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam melakukan sesuatu perkara. Persoalannya apakah faedah di sebalik cogan kata “jiran sepakat membawa berkat “?.

KOSA KATA FRASA MENARIK

Akur - bersetuju
Aspirasi - cita-cita/keinginan
Bejat - gawat
Bergegas - membuat sesuatu dengan cepat
Bergelandangan - berpelesiran
Bermaharajalela - berleluasa
Dana - modal
Diksi - pemilihan kata
Diagnosis - mengenal pasti
Dinamis - berdaya saing
Diuar-uarkan - dicanangkan
Duri dalam daging - sesuatu yang menyakitkan
Emansipasi - hak kebebasan
Falsafah - pemikiran
Fasilitator - pemudah cara
Fenomena - perkara
Fleksibel - mudah diubah suai
Global - dunia seluruhnya
Hedonisme - hidup terlalu bebas
Iltizam - harapan tinggi
Imej - penampilan
Impak - kesan
Ironi - keadaan pertentangan
Julung-julung - kali pertama
Karisma - penampilan
Kental - kuat
Kemelut - masalah
Keunggulan - keistimewaan
Kepupusan - kehilangan
Kerakusan - haloba/gelojoh
Ketandusan - tidak ada
Kewibawaan - keupayaan
Khazanah - harta benda
Kolot - ketinggalan zaman/kuno
Komitmen - kesungguhan
Konflik jiwa - pergolakan jiwa
Konkrit - kukuh
Kontemporari - sesuai dengan keadaan
Konotasi - idea yang dimaksudkan
Konvensional - cara lama
Kritikal - serius
Kudus - suci
Lumrah - kebiasaan
Manifesto - pendirian
Maslahat - faedah
Membarahi - melanda
Membolosi - memasuki secara haram
Mencanai - melahirkan
Mencungkil - mencari
Mengaibkan - memalukan
Mengundang - menjemput supaya dating
Menjana - menghasilkan
Menuding jari - menyalahkan orang lain
Menyarankan - mencadangkan
Menyuntik - memberi
Meraikan - menjayakan/merayakan
Meranapkan - menghancurkan
Merealisasikan - menjadi kenyataan
Merencatkan - menggagalkan
Mutakhir - terkini
Nadi - penggerak
Nafsi - mementingkan diri sendiri
Nasi belum menjadi bubur - belum terlambat
Norma - adat
Pancaroba - keadaan yang kacau
Panji - lambang kedaulatan/bendera
Perdana - utama
Perisai - pertahanan
Persada - arena/gelanggang
Perspektif - tanggapan
Reformasi - perubahan
Releven - sesuai
Sayugia - harus/patut
Seantero - seluruh
Senario - keadaan
Sesi - tempoh masa
Tampil - keluar
Tonggak - asas/dasar
Total - menyeluruh
Tragis - sedih
Tuntasnya - keseluruhannya

Sunday, April 15, 2012

Keharmonian masyarakat berbilang kaum

Cara untuk mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum



Marcapada ini, masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara kita hidup dalam aman dan harmoni. Hubungan antara masyarakat berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India ini terjalin erat dan membentuk masyarakat yang bersatu padu. Idea penubuhan Datuk Seri Mohd Najib B. Tun Abd. Razak tentang slogan “1 Malaysia” telah membawa negara kita ke arah satu anjakan paradigma dan mengubah cara hidup masyarakat majmuk yang tinggal di negara Malaysia. Namun begitu, apakah prakarsa-prakarsa yang harus dilaksanakan oleh semua pihak untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan di negara kita?

Saturday, April 14, 2012

Manfaat Dasar 1 Murid 1 Sukan (STPM)

Dasar 1 Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan ke semua murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi kepentingan bersama.

Wednesday, March 28, 2012

Langkah-langkah Mengurangkan Kemalangan Jalan Raya

Dasawarsa ini, isu kemalangan jalan raya yang semakin meruncing sering menjadi fokus perbincangan dan mauduk utama akhbar-akhbar tempatan di Malaysia. Keadaan ini semakin merunsingkan apabila banyak kejadian yang melibatkan kemalangan jiwa berlaku. Justeru, sebelum, nasi sudah menjadi bubur, langkah-langkah pragmatik perlu diimplimentasikan bagi mengatasi masalah ini.

Pertama, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan dengan lebih tegus dan tegas. Peraturan-peraturan jalan raya seharusnyan dikaji semula dan ditambah baik bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara. Penguatkuasaan undang-undang seperti larangan perjalanan bas ekspres pada waktu malam seharusnya dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, bukannya seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah Bukit Aman, kes kemalangan melibatkan bas ekspres menurun dengan rancaknya sebanyak 15.7 peratus dari tahun 2007 ke 2008 selepas undang-undang tersebut dilaksanakan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa dengan adanya penguatkuasaan undang-undang, kadar kemalangan dapat diminimumkan.

Sunday, March 18, 2012

Punca-Punca Kemalangan Jalan Raya

“Adalah menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia akan sentiasa beringat dan berwaspada semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman. Bersama kita jadikan jalan raya kita jalan yang selamat”.

Demikianlah sedutan ucapan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim di Putrajaya baru-baru ini. Peribahasa alah bisa tegal biasa kini telah menjadi sinonim dengan masyarakat Malaysia memandangkan saban hari rakyat Malaysia disajikan dengan berita-berita kemalangan jalan raya yang menyayatkan hati sama ada di dada akhbar mahupun di kaca televisyen. Walaupun OPS Sikap XIII sempena Aidilfitri baru-baru ini berjaya mengurangkan kes kemalangan maut daripada 213 kes kepada 203 kes, namun statistik masih menunjukkan bahawa kemalangan keseluruhan pada tahun ini meningkat sebanyak lima peratus berbanding tahun lalu. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya walaupun pelbagai pihak telah memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya?